Home » » Suami Sekarang Tak Sama Macam Suami Zaman Dulu, Betul Ke?

Suami Sekarang Tak Sama Macam Suami Zaman Dulu, Betul Ke?

suami
Suami Sekarang Tak Sama Macam Suami Zaman Dulu|

“Saya tidak akan melawan emak, tetapi saya terpaksa berpisah kerana saya tahu itulah hukuman dipenghujung pengorbanan saya. Saya tetap akan diceraikan kerana tidak ikut kehendaknya menyediakan duit untuk dia bergaya.
“Saya tak sanggup lagi berhutang berbaris semata-mata untuk menggembirakan hati Edd, supaya dia terus bergaya. Saya juga tak sanggup mempertahankan perkahwinan ini semata-mata menjaga hati emak supaya tak malu, dua orang anaknya bergelar janda.
“Pada saya hanya orang yang menghadapi masalah seperti saya dan kakak saja yang tahu betapa susahnya hidup kami. Orang lain mungkin boleh sekadar mengata dan memandang saja sambil beri nasihat hanya pandangannya betul.
“Bukan tujuan saya menidakkan nasihat mereka, tetapi mereka tak ada pengalaman, jadi tentu mereka tak tahu betapa peritnya penderitaan yang terpaksa kami lalui.
“Kalau dulu saya sendiri tidak memahami masalah kakak, cuma mendengar leteran emak yang marahkan kakak kerana bercerai, tetapi setelah saya tinggal bersama di rumahnya semasa belajar dan selepas dapat kerja dahulu barulah saya tahu betapa besarnya pengorbanan kakak untuk anak-anaknya.
“Syukur kepada Allah berkat kerja keras kakak dan nasihat yang sentiasa dicurahkan kepada anak-anaknya, kini anak-anak kakak berjaya dalam pelajaran dan sudah pun bekerja setelah berjaya memegang ijazah masing-masing walaupun tanpa nafkah daripada ayah mereka.
“Peliknya setelah anak-anak bekerja, barulah si ayah nampak anak-anaknya. Saudara mara ayahnya mula memuji kepandaian anak-anak kakak. Pada saya semuanya sudah terlambat.
“Mereka cuma melihat anak-anak kakak telah bekerja dan tidak tinggal rumah setinggan lagi. Di mana mereka ketika kakak berhempas pulas membesarkan anak-anak sendirian tanpa sedikit pun nafkah daripada bekas suami dan keluarganya?
“Kalau sayalah bekas ipar-ipar tinggal kakak, saya berasa malu mengaku anak-anak itu saudara. Sebab mereka langsung tidak membantu semasa kakak susah dahulu. Dan dalam diri anak-anak ini telah tertanam perasaan benci, marah dan tidak suka dengan perangai ayah mereka yang tidak bertanggungjawab.
“Benar Islam melarang anak-anak membenci ayah mereka, tetapi ingat. Anak-anak inilah yang hidup menderita ketika kecil dahulu. Di mana ayah dan tanggungjawab lelaki bergelar ayah?
“Melihat kepada kejayaan kakak, saya juga tidak akan buat tuntutan nafkah kepada bekas suami. Sebagai ayah sepatutnya dia tahu tanggungjawabnya. Tetapi saya tahu dia tidak akan sedar diri, kerana pada dia, kacak, lawa, bergaya itu lebih penting daripada beri anak makan. Mereka lebih pentingkan diri sendiri daripada anak-anak. Kecuali setelah anak-anaknya besar, baru mereka sedar betapa pentingnya anak-anak untuk bantu mereka setelah tua dan sakit-sakit.
“Saya bukan berlagak atau sombong, kerana gaji saya mungkin boleh tanggung makan minum anak-anak, tetapi saya rasa buang masa turun naik mahkamah buat tuntutan nafkah, sebab yang akan untung nanti adalah peguam bukan kami.
“Sebaliknya saya yang rugi, banyak masa terbuang turun naik mahkamah dan lebih penting boleh merosakkan fikiran memikirkan bekas suami yang tak bertanggungjawab itu.
“Lagipun saya sedar ayah seperti ini tidak akan berjaya dalam hidupnya sebab dia gagal membiayai kehidupan anak-anaknya. Pembalasan Allah tidak berlaku setelah kita mati atau di alam akhirat sahaja, sebaliknya semasa masih hidup di atas dunia ini Allah akan tunjukkan pembalasan-Nya. Cuma sama ada si ayah itu sedar atau tidak.
“Kesimpulannya boleh saya katakan bahawa suami zaman sekarang bukan seperti suami emak kita zaman dahulu, sebabnya isteri zaman dahulu tak bekerja, jadi anak-anak terpulang kepada tanggungan si ayah. Dan lebih penting suami zaman dahulu lebih bertanggungjawab daripada suami zaman sekarang. Jadi di mana silapnya?
“Antara dua jenis lelaki ini. Adakah kerana ibu bapa lupa beri didikan kepada anak-anak lelaki mereka khususnya dalam bab agama supaya menjadi anak dan suami yang bertanggungjawab bukan sahaja kepada anak-anak dan isteri, tetapi juga kepada ibu bapa mereka.
“Kalau ibu bapa dulu lupa memberi didikan kepada anak-anak mereka dalam bab agama, maka menjadi tanggungjawab kita ibu bapa zaman ini memperbetulkan keadaan supaya masalah kepincangan dalam keluarga ini boleh diperbaiki untuk generasi akan datang,’’ itu cerita Mastura panjang lebar untuk kita perbaiki dan cermin diri sendiri

0 comments:

Post a Comment

Contributors

Powered by Blogger.